Monday, May 25, 2009

Ulasan Buku Kajian Tindakan

Tajuk Buku: Kajian Tindakan Dalam Pendidikan
Pengarang: Ernie Stringer, Universiti Teknologi Curtin.
Tahun Terbit: 2004




1.0 KONSEP KAJIAN TINDAKAN

Kajian tindakan adalah satu proses kajian inkuiri atau kajian yang bersistematik. Kajian tindakan berbeza daripada kajian tradisional kerana wujudnya pusingan atau kitaran, bersifat dinamik dan menggunakan pendekatan secara kolaboratif dalam menjalankan penyiasatan kajian. Kajian tindakan memerlukan kepada tindakan segera selepas kajian dijalankan bagi menyelesaikan permasalahan.

Proses asas yang perlu ada dalam kajian tindakan merangkumi:
a. Reka bentuk kajian
b. Pengumpulan data
c. Analisis data
d. Hasil komunikasi
e. Mengambil tindakan


2.0 TUJUAN KAJIAN TINDAKAN


Kajian tindakan dilakukan untuk menyediakan/ membekalkan/ memberikan kepada pengamal pendidikan dengan ilmu pengetahuan yang baru dan pemahaman untuk membolehkan mereka membaiki dan menambah baik amalan pengajaran mereka ataupun menyelesaikan masalah yang wujud di dalam bilik darjah dan juga sekolah. Guru perlu membuat kajian tindakan sebagai satu usaha:

a. Untuk membuat penambahbaikan terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.

Kajian tindakan memerlukan guru bertindak sebagai penyelidik yang mengkaji amalan bekerjanya sendiri serta kaitannya dengan keberkesanan pembelajaran di kalangan murid-murid yang diajarnya. Amalan bekerja iaitu amalan mengajar termasuklah cara guru berinteraksi dengan murid, latihan-latihan yang disediakan, gaya penyampaian, soalan-soalan yang digunakan dan sebagainya. Guru menjalankan kajian atas kesedaran bahawa terdapat masalah yang mengganggu proses pembelajaran di kalangan murid-murid yang diajarnya dan masalah itu perlu ditanganinya sendiri dengan membuat pengubahsuaian terhadap amalan P&Pnya.

b. Untuk membina dan mencipta satu teori baru.

Kajian Tindakan mengembangkan kemampuan guru sebagai peneroka pengetahuan yang profesional. Guru tidak lagi hanya menjadi pengguna teori atau ilmu yang dikemukakan oleh orang lain, bahkan dirinya berupaya merintis jalan bagi membina dan mencipta satu teori baru dalam menangani pelbagai masalah P&P.


c. Untuk membantu perkembangan kemahiran dan tahap keprofesionalan guru.

Dalam kajian tindakan, guru akan menjadi ketua bagi dirinya dalam mengawal dan menyusun proses kajiannya dan tidak memerlukan kepada arahan orang lain. Dengan itu, guru akan menjadi lebih kreatif dan kritis dalam membuat penyelesaian sesuatu masalah. Dapatan dari kajian diterima sebagai sebahagian daripada percambahan idea dalam bidang yang dikaji.


3.0 REKA BENTUK KAJIAN TINDAKAN

3.1 Kitaran kajian tindakan





3.1 Sampel


Pemilihan sampel hendaklah dilakukan dengan memastikan bahawa maklumat atau data itu dikumpul daripada pelbagai perspektif dan pengalaman merentasi semua kumpulan dan kumpulan kecil yang berada dalam lingkungan persekitaran topik yang dikaji. Sampel hendaklah mewakili populasi subjek kajian.

3.2 Setting kajian

Pemilihan lokasi atau tempat kajian dalam bidang pendidikan biasanya dilakukan di peringkat bilik darjah dan sekolah.


4.0 PROSEDUR KAJIAN TINDAKAN





Rajah 1 : Prosedur Kajian Tindakan Menurut Ernie Stringer

Menurut Ernie Stringer, prosedur dalam menjalankan kajian tindakan adalah seperti berikut:
a. Merekabentuk kajian berdasarkan permasalahan yang telah dikenal pasti.
b. Mengumpul data daripada sumber yang pelbagai.
c. Menganalisis data untuk mengenal pasti ciri penting dalam permasalahan kajian.
d. Berkongsi hasil dapatan kajian.
e. Menggunakan hasil kajian untuk membina penyelesaian permasalahan yang dikaji.


5.0 PENGUMPULAN DATA


Fasa pertama dalam menjalankan kajian tindakan ialah pengumpulan data yang mana ia dapat membina kajian yang sah dan beretika. Pemerolehan sumber maklumat secara sistematik dapat menyumbang kepada pemahaman yang meluas terhadap topik kajian. Antara teknik yang digunakan dalam proses pengumpulan data bagi kajian tindakan ialah:

5.1 Temu bual

Teknik yang paling asas dalam memperoleh pengalaman dan pandangan manusia ialah melalui temu bual. Temu bual dilakukan dengan memberi sama ada soalan jenis berpandu ataupun jenis terbuka. Sebelum memulakan sebarang temu bual, penyelidik hendaklah membina hubungan kepercayaan dengan sampel atau peserta agar mereka berasa selesa ketika ditemu ramah dan dapat memberikan maklumat yang diinginkan dengan jelas dan lancar.

5.2 Pemerhatian

Pemerhatian dalam kajian tindakan adalah jauh berbeza dengan pemerhatian dalam kajian eksperimental. Dalam kajian tindakan, penyelidik mencatat pengulangan tingkah laku, perbuatan atau peristiwa tertentu dengan menggunakan kaedah pemerhatian yang berstruktur dengan baik. Sampel yang digunakan adalah lebih terbuka dalam memperoleh data mengenai tabiat dan sikap manusia bagi memahaminya dengan lebih mendalam. Perkara yang menjadi pemerhatian adalah: manusia, tempat, tingkah laku, aktiviti, peristiwa, objek, tujuan, masa dan juga perasaan.



5.3 Kajian artifak


Kajian dilakukan terhadap bahan-bahan seperti dokumen ataupun rakaman dan juga kemudahan-kemudahan lain yang dapat memperkayakan dan menambah maklumat yang sedia ada sebagai sokongan terhadap kajian.


5.4 Statistik


Data statistik dan nombor yang diperoleh daripada sumber di atas ataupun daripada projek tinjauan dapat memberikan maklumat yang berguna.


5.5 Bahan literasi


Bahan-bahan akademik, profesional dan institusi seperti jurnal juga menjadi sumber maklumat tambahan yang berguna dalam menambah pemahaman mengenai kajian yang dijalankan.



6.0 PENGANALISAAN DATA

Penganalisaan data dibuat adalah bertujuan untuk :
a. Mengurangkan, menapis atau menyaring kuantiti data yang terlalu besar atau banyak.
b. Untuk memberikan pemahaman yang jelas kepada stakeholders tentang isu dan peristiwa kajian.


Dua proses dalam menganalisis data ialah:

a. Menganalisis epiphanies (gambaran detik yang jelas yang meninggalkan kesan terhadap kehidupan manusia)

1. Pilih kunci populasi daripada setiap kumpulan stakeholder.
2. Menilai data bagi setiap individu terpilih.
3. Kenal pasti epiphanies pengalaman yang ketara.
4. Mengenal pasti ciri besar bagi peristiwa atau pengalaman tersebut.
5. Mengenal pasti unsur asas pengalaman yang bersamaan dengan setiap ciri.
6. Gunakan ciri dan unsur yang telah dikenal pasti itu untuk membina rangka konsep dan idea yang mewakili setiap pengalaman individu dalam permasalahan yang dikaji.
7. Membuat perkaitan: mengenalpasti persamaan dan perbezaan di antara ciri atau unsur pada pengalaman stakeholder.

*Gunakan rangka kerja untuk membentuk account dan laporan.

b. Pengkelasan dan mengkod data

1. Lihat semula setiap temu bual bagi setiap kumpulan stakeholder.
2. Menyatukan data dengan membahagikan data kepada makna tersendiri.
3. Merumuskan kategori, sub-kategori dan tema dengan mengenal pasti pola, kaitan, keanjalan dan ketekalan data.
4. Letakkan semua ini dalam satu sistem kategori.
5. Lengkapkan analisis dengan maklumat yang diperolehi daripada sumber selain temu bual.
6. Gunakan sistem pengkelasan untuk menyediakan rangka laporan akhir.



7.0 PERSEMBAHAN: MENGHUBUNGKAN PROSES DAN HASIL KAJIAN


Tiga format utama yang perlu ada dalam mempersembahkan hasil kajian: ialah penulisan laporan, penyampaian dan persembahan. Dengan cara ini, ia dapat memperlihatkan kefahaman yang jelas oleh penyelidik tentang pengalaman peserta. Ketiga-tiga perkara tadi sepatutnya secara jelas dapat mewakili pengalaman dan perspektif peserta dan juga dihasilkan dalam bentuk yang sesuai dengan khalayak pembaca dan juga tujuan.

Penulisan laporan dibuat sama ada dalam bentuk laporan biasa, cerita, biografi ataupun etnografi secara individu, berduo ataupun bersama. Jenis laporan pula diambil berdasarkan sama ada ringkasan laporan tidak rasmi, laporan rasmi untuk ahli profesional dan badan pentadbir, ataupun laporan akademik untuk jurnal kajian.
Penyampaian pula diintegrasikan daripada pelbagai jenis media yang ada termasuklah laporan secara lisan, carta, carta aliran, peta, peta minda, lukisan, video, rakaman audio dan juga media elektronik lain.

Persembahan dilaksanakan melalui drama, lukisan, puisi, muzik, ataupun bentuk yang lain. Ia mungkin disimpan, ditayangkan dan dipertontonkan dengan pelbagai bentuk visual, audio dan elektronik.

Prosedur dalam membuat laporan atau skrip bagi tujuan penyampaian dan persembahan meliputi aspek berikut:
a. Mengenal pasti khalayak sasaran dan tujuan.
b. Memilih perspektif peserta
c. Menilai semula data.
d. Memilih ciri dan elemen pengalaman daripada data yang telah dianalisa.
e. Membuat rangka kerja berdasarkan ciri tersebut.
f. Membuat penilaian semula dan menyunting skrip atau laporan.
g. Meminta rakan memeriksa semula untuk ketepatan dan kesesuaian.

Dalam membuat laporan, amalan mencatat atau merekod segala perkembangan yang berlaku semasa aktiviti dilaksanakan adalah satu peraturan yang perlu dipatuhi dalam Kajian Tindakan.



8.0 MEMBUAT TINDAKAN


Kajian tindakan amat praktikal dijalankan di sekolah dan persekitaran pendidikan. Ia memperkenalkan rangka kerja untuk:

a. Menyelesaikan masalah – kajian tindakan di dalam bilik darjah dan sekolah.
- Meletakkan keutamaan – mewujudkan agenda tindakan.
- Mencipta dan membuat jalan – membuat rancangan tindakan
- Menilai semula perancangan
- Menyokong dan memantau perkembangan

b. Amalan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah
- Membina program pembelajaran
- Membuat sukatan pelajaran
- Rancangan pengajaran
- Projek pembelajaran
- Penaksiran terhadap pembelajaran pelajar

c. Pembangunan kurikulum
- Rancangan kurikulum
- Perubahan kepimpinan kurikulum

d. Penilaian – menilai kepentingan dan kualiti program dan perkhidmatan pendidikan
- Penilaian responsif
- Penilaian tindakan: pertanyaan terbuka dan mengemas kini penilaian.
- Pembangunan badan profesional
- Hubungan antara sekolah, keluarga dan juga komuniti setempat.
- Perancangan yang strategik: membina gambaran yang besar.



9.0 ETIKA KAJIAN TINDAKAN


Penyelidik tidak seharusnya meletakkan sampel atau peserta yang digunakan untuk mendapatkan maklumat dan data berada di dalam keadaan bahaya atau mungkin menyebabkan serta menimbulkan keadaan yang kurang menyenangkan pada masa hadapan. Antara etika yang perlu dipatuhi oleh penyelidik dalam melaksanakan kajian tindakan menurut Ernie (2004) ialah:

9.1 Kerahsiaan, bertanggungjawab, peka dan sensitif
Hak privasi atau maklumat rahsia yang diberikan oleh sampel dilindungi dengan menjaga etika kerahsiaan.
9.2 Keizinan
Kajian tindakan yang dilakukan dalam ruang lingkup bilik darjah yang diajar oleh guru atau penyelidik tersebut, biasanya tidak memerlukan kepada keizinan atau kebenaran rasmi melainkan jika kajian yang hendak dijalankan itu melibatkan ruang lingkup yang lebih luas seperti memerlukan penyertaan kakitangan sekolah, pelajar dari kelas lain, ataupun ibu bapa dan seterusnya.
9.3 Pernyataan persetujuan
Peserta diberitahu tentang bentuk dan tujuan kajian dilakukan ketika mendapatkan persetujuan.



10.0 KEBOLEHPERCAYAAN DAN KESAHAN KAJIAN TINDAKAN


Kesahan sesebuah kajian tindakan itu adalah berbeza dan bergantung pada prosedur yang digunakan dalam membina dan mewujudkan kredibiliti, hak milik sendiri, kebolehpercayaan, pengesahan, tahap penglibatan dan kebergunaan. Kesemua ini boleh dicapai melalui:

10.1 Prolong engagement (proses berpanjangan/berlanjutan) – tempoh kajian dijalankan
10.2 Pemerhatian berterusan - bilangan dan tempoh pemerhatian dan temu bual
10.3 Triangulasi – meliputi semua sumber pemerolehan data termasuk lokasi pemerhatian, pihak yang ditemu bual dan bahan yang ditemu bual.
10.4 Penyertaan soal selidik/temu bual – proses untuk menilai semula prosedur kajian.
10.5 Analisis kes negatif – satu proses dalam memastikan kepelbagaian pentafsiran.
10.6 Rujukan yang mencukupi – terminologi yang dirangka daripada penggunaan bahasa dan juga konsep kajian.
10.7 Pemeriksaan ahli – prosedur untuk memeriksa ketepatan data dan kesesuaian analisis dan melapor data.
10.8 Bertanggungjawab – memberi penerangan mengenai peserta dan kandungan kajian secara terperinci.
10.9 Kebolehpercayaan – penerangan terperinci mengenai proses kajian yang dijalankan.
10.10 Kebolehsahan – data yang diperoleh boleh dinilai semula.
10.11 Penyertaan : keluasan peserta dalam menjalankan kajian.
10.12 Utiliti : hasil daripada kajian yang telah dijalankan.


11.0 PENILAIAN KESELURUHAN TERHADAP BUKU INI.


Buku ini merupakan antara bahan bacaan yang amat berguna kepada mereka yang mula berjinak-jinak untuk membuat kajian tindakan. Panduan yang diberikan oleh Ernie Stringer begitu lengkap. Ia menerangkan tentang konsep kajian tindakan itu sendiri yang berbeza dengan kajian-kajian yang lain apabila dilihat dari sudut tindakan segera yang diambil apabila sesuatu kajian tindakan telah dijalankan, di mana kajian-kajian lain hanya terhenti pada tahap penulisan laporan yang berkemungkinan besar tidak ada tindakan pun yang diambil dalam jangka waktu terdekat. Bagaimanapun, bahasa yang digunakan dalam buku ini adalah agak tinggi bagi insan seperti saya. Tambahkan pengetahuan dan luaskan pengalaman melalui membaca. Selamat membaca….

http://www.scribd.com/doc/15763050/Ulasan-Buku-Kajian-Tindakan-2?secret_password=1zer7h4wfxerqi7pd58

0 comments: