Sunday, May 3, 2009

Kuliah Minggu Ke-2 (27 April 2009)

Minggu ini, kami telah mempelajari tentang reka bentuk kajian tindakan yang mana ianya meliputi 4 langkah terpenting yang wajib ada apabila sesuatu kajian itu dilakukan iaitu merefleksi, merancang, melaksana strategi dan memantau untuk membuat penilaian. Kitaran ini mungkin akan berterusan dan akan wujud selagi mana permasalahan yang dikaji masih tidak dapat diatasi ataupun belum mencapai keputusan yang dikehendaki. Kami telah melakukan beberapa aktiviti bagi memantapkan lagi pemahaman kami mengenai konsep kajian tindakan ini secara keseluruhan.

Aktiviti 1 (Refleksi BIG II)
Program Bina Insan Guru II di Pulau Pangkor (15 April-19 April 2009)
Setelah menjalani Program BIG II yang lalu, pelbagai pengalaman dan pengetahuan telah saya perolehi di sepanjang program tersebut berlangsung. Di samping itu juga, saya mulai mengenal diri saya sedikit demi sedikit walaupun ada masanya saya tidak begitu memahami diri saya langsung.
Penambahbaikan dalam diri
Saya perlu membina keyakinan diri saya dalam setiap perkara yang saya lakukan lebih-lebih lagi dalam perkara yang melibatkan interaksi dengan ramai orang. Kadang-kadang wujud rasa tidak yakin pada diri apabila merasakan sesuatu tugasan itu terlalu mencabar bagi diri saya. Bertenang dan berfikirlah secara kritikal ye. You can do it!!
Matlamat
Siti Khairiyah Sejo tampil dengan keyakinan yang jitu dan bersemangat dalam melakukan apa jua perkara dan tugasan yang diberikan.
Objektif
Saya mampu bercakap di depan khalayak ramai dengan tenang, bersahaja dan jelas.

Pelan tindakan
1. Langkah yang diambil
Apabila bercakap di depan khalayak ramai, saya perlu bertenang dan bercakap dengan perlahan dan jelas supaya rakan-rakan memahami apa yang ingin saya sampaikan.
2. Pengumpulan data
Bertanya rakan tentang prestasi saya setiap kali saya bercakap di hadapan khalayak samada dalam sesi pembentangan, pengajaran ataupun pemberitahuan maklumat.
3. Pemantauan
Saya melihat perkembangan diri saya berdasarkan reaksi rakan-rakan setiap kali selepas bercakap di hadapan khalayak.
4. Penilaian
Sentiasa bermuhasabah diri. Nilai apa yang telah saya lakukan itu berkesan atau tidak. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam dan jadikan hari esok lebih baik dari hari ini.

Aktiviti 2 (Refleksi Kaedah Mengajar)
Mata pelajaran : Pendidikan Islam (Sirah)
Tajuk : Kehidupan Masyarakat Arab Jahiliyyah
Permasalahan
Selepas guru mengajar topik Kehidupan Masyarakat Arab Jahiliyyah dengan menggunakan kaedah konvensional iaitu kaedah kuliah dan syarahan, guru mendapati bahawa kebanyakan pelajarnya tidak dapat memberikan tumpuan kepada pengajaran guru disebabkan waktu pembelajaran yang berlangsung pada waktu tengahari. Ramai pelajar tidak dapat menjawab pertanyaan guru dan sebahagiannya sering mengantuk dan tidur di dalam kelas.
Matlamat
• Pelajar berjaya dan berminat menghayati sirah dan sejarah Islam.
Objektif
• Pelajar dapat menghayati sirah dengan mudah dan mneyeronokkan
• Megurangkan salah laku dalam bilik darjah
Pelan tindakan
a. Langkah yang diambil
Guru mengubahsuai kaedah mengajar berdasarkan pendekatan konstruktivisma dengan mengadakan aktiviti simulasi di mana pelajar dikehendaki membuat projek lakonan bertemakan tajuk-tajuk yang diberikan oleh guru. Guru memberi peluang kepada pelajar untuk berlatih dan membuat persembahan dalam keadaan masa yang terhad.
b. Pengumpulan data
Data akan dikumpulkan melalui respon dan soaljawab bersama pelajar tentang cara yang paling efektif untuk memudahkan pelajar berminat dan memahami sirah dengan mudah.
c. Pemantauan
Guru membuat penilaian formatif di mana guru akan mengajukan pertanyaan dan soalan selepas sesebuah lakonan itu dipersembahkan. Guru mendapatkan jawapan pelajar dan membuat penilaian.
d. Penilaian
Berdasarkan jawapan dan respon yang diberikan oleh pelajar, guru akan menentukan samada ingin meneruskan kaedah mengajar tersebut ketika mengajar bahagian sirah kepada pelajar atau tidak. Jika hasil yang diterima adalah positif, maka kaedah tersebut akan diteruskan pada masa akan datang dan apabila hasil jawapan menunjukkan perkara yang sebaliknya, maka guru akan menukar dan memilih kaedah mengajar yang lain serta melakukan proses yang sama secara berterusan sehinggalah guru memperoleh kaedah mengajar yang tepat untuk mengajar bahagian sirah dalam Pendidikan Islam dan akhirnya pelajar akan memperoleh manfaat daripada hasil usaha kajian tindakan yang dilakukan oleh guru.

Disediakan bersama: Nor Syariah Sirun, Nurul Huda Rahim.

0 comments: